6 Perkara Wanita Bertudung Selalu Abaikan Dalam Penjagaan AURAT..!
Di dalam al-Quran surah a-Nur ayat 31 dan surah al-Ahzab ayat 59 jelas menyatakan kewajipan menutup aurat untuk wanita muslim yang telah sampai akil baligh.
Ramai wanita muslim hari ini tidak mengambil berat dengan memakai pakaian menutup aurat dengan sempurna. Ramai di antara mereka lebih suka dan terpengaruh dengan ciri-ciri pakaian yang berfesyen semasa terutama fesyen yang datangnya daripada barat.
Ada juga yang merasa cukup dengan memakai tudung sahaja, akan tetapi perkara lain tidak diambil kira. Sekarang ini ramai yang dilihat dah mula bertudung, tapi banyak juga kesalahan dalam memakai tudung kerana ramai yang ingin berfesyen bukan kerana tuntutan arahan Allah SWT. Fesyen dibenarkan di dalam Islam selama mana tidak melampau-lampau atau berlebihan serta hendaklah menepati semua syarat yang ditetapkan di dalam etika berpakaian. Jika cukup syaratnya maka tidak ada masalah untuk berfesyen.
Namun, perlulah diperjelaskan beberapa kesilapan wanita tentang aurat supaya kita dapat mencari kesilapan tersebut dan dapat diperbaikinya segera.
Terdapat beberapa kesilapan wanita bertudung selalu abaikan tentang penjagaan aurat. Antaranya ialah;
1- BERTUDUNG, TAPI ADA RAMBUT TERJUIH KELUAR
Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya. Sehelai rambut yang diperlihat kepada seorang lelaki, satu dosa anda dapat. Kalau sehelai rambut sengaja diperlihat kepada 10 lelaki maka 10 dosa anda dapat. Tahukah berapa ribu helai rambut anda? Dan tahukah berapa ribu lelaki yang akan anda temui hampir siap hari lebih-lebih lagi bila anda upload gambar di facebook.
2- BERTUDUNG, TAPI SINGKAT, NIPIS SEHINGGA BOLEH DILIHAT SANGGUL, LEHER, TENGKUK DAN DADANYA.
Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang dan terbelit-belit di leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung. Kerana terikutkan fesyen yang mahu kelihatan bergaya, aurat ditolak tepi.
Hakikat trend tudung, gadis-gadis di luar sana, ada beberapa hakikat yang anda perlu terima. Kajian menunjukkan lelaki lebih suka anda pakai tudung biasa. Jangan tertipu dengan model tudung. Dia pakai nampak cantik sebab muka dia memang cantik. Pakai tudung dia takkan membuatkan muka anda jadi cantik secara magic. Pemakaian hijab, mesti menutup dada!
3- BERTUDUNG TAPI MENAMPAKKAN BENTUK BADAN (BERPAKAIAN KETAT)
Gaya ini paling ramai gadis-gadis bertudung suka pakai. Bertudung tapi bertelanjang. Tidak ada bezanya dengan perempuan FreeHair. Hanya bertudung tapi menampakkan seluruh susuk tubuhnya dengan mengenakan pakaian ketat, bajunya sendat, sempit dan nipis.
Badan saiz XL tetapi pakai baju saiz S. Banyak sangat sekarang ini, atas dah elok, tapi pakai baju sendat dan berseluar ketat menampak bentuk peha serta betisnya. Apa gunanya BERTUDUNG?
Ini masalahnya apabila diri kurang mendengar kuliah @ ceramah agama tentang pedihnya azab di akhirat nanti buat mereka yang mengabaikan aurat. Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali.
4- BERTUDUNG TAPI MENAMPAKKAN LENGAN
Mutaakhir,dilihat banyak gambar atau secara nyata, wanita Islam (Muslimah) menggayakan pelbagai cara untuk menutup aurat. Namun, dalam kesibukan tersebut, selain dari hal mempamerkan bentuk tubuh, satu lagi aurat yang dipandang remeh adalah LENGAN. Mereka mengenakan tudung, tapi memakai T-Shirt lengan pendek, bahkan ada juga yang mengenakan sarung lengan yang ketat disamping pemakaian T-Shirt lengan pendek tersebut dengan anggapan mereka, mereka telah menutup aurat mereka sebaiknya. Hukumnya masih dikira tidak menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara’.
5- BERTUDUNG TAPI NAMPAK KAKI
Kaki adalah aurat. Perempuan tidak wajib pakai stokin kaki, tetapi wajib tutup kaki. Terpulang nak pakai kasut Phua Chu Kang ke.. janji tutup aurat (kaki).
Dengan mudah fahamnya, seperti mana aurat di dalam Solat, seperti itulah Aurat di luar solat. Maka, kaki, lengan, rambut, tubuh adalah AURAT.
6- BERTUDUNG DENGAN STYLE BONGGOL
Fesyen Tudung sanggul bonggol unta ada yang mengatakan ianya HARAM dipakai. Dalam hadis yang mengatakan :
Daripada Abu Hurairah r.a : Bersabda Rasulullah s.a.w: “Dua golongan daripada Ahli Neraka yang belum pernah aku melihatnya (wujud) iaitulah: Kaum yang bersama mereka itu cemeti-cemeti seperti ekor lembu, memukul manusia, dan kaum wanita yang berpakaian tetapi telanjang, mereka itu mengajak manusia menjauhi perintah Allah dan mereka sendiri menjauhi perintah Allah, kepala mereka seakan-akan bonggol-bonggol unta yang senget, mereka ini (dua golongan ini) tidak masuk ke syurga dan tidak pula mendapat baunya sedangkan baunya dapat dihidu dari jarak sekian dan sekian.
(H.R. Muslim, Ahmad, al-Baihaqi dalam al-Kubra, dan al-Tabrani dalam Mukjam al-Awsat).
Jadi ini menunjukkan bahawa pada asalnya mereka memakai dan menutup, tetapi kaedah cara memakai itu tidak kena. Sanggulnya sepatutnya boleh diikat kecil tetapi dia sengaja membuat sanggulnya tinggi seperti thailand punya pagoda. Ini tidak dibolehkan.
Apatah lagi pada hari ini mereka menjual sanggul yang sudah siap (sanggul tiruan). Kita memahami bahawasanya sekiranya rambut seseorang itu panjang maka ia perlu diikat, tetapi bukanlah mengikat secara melampau sehingga naik menonjol. Bonggol unta maksudnya ia menonjol naik. Apatah lagi bagi yang tiada rambut sangat tetapi dia sengaja pergi tambah, itu lebih kacau!